Merasai kehadiran 1 nyawa
dalam 1 kegelapan dunia
kian hari kian membesar
ada masanya bergerak dan menendang
Aku terfikir...
mungkinkah nanti
dia akan lahir dan membesar
Aku mengharap...
dia sihat dan berjaya
Kaulah nyawa ibu
ibu rela bekorban untukmu sayang
Tak pernah aku minta semula
tiap ringgit yang aku belanjakan
tiap titis susu ibu yang kau minum
tiap peluh ibu yang menitis
tiap darah ibu yang mengalir
tiap air mata ibu yang berderai
tiap masa ibu menemanimu
saat kau menumpang di perutku
saat kau lahir ke dunia
saat kau menangis saban malam
saat kau sakit dan merajuk
saat kau mula bersekolah
saat kau minta baju baru
saat kau mahu itu dan ini
saat kau berkahwin
saat kau susah
Ibu akan setia disisimu sayang
ibu rela asalkan kau bahagia
Merenung wajah ini....
aku rindu membelaimu
Rindu ini tak pernah jemu
rindu melihat wajahmu
rindu mendengar suaramu
rindu pada senyumanmu
pada tawamu
dan pada tangismu
Apakah nanti...
kau akan meninggalkanku...?
Apakah nanti...
kau melupaiku...?
Apakah nanti...
kau membenciku...?
Ibu ini...
hanya mahu kau berjaya
hanya ingin kau bahagia
hanya ingin kau gembira
Andai meninggalkanku itu nanti
kebahagiaan buatmu...
apalah daya ibu
Ya...
kebahagiaanmu nanti...
pastilah bersama isterimu yang tercinta
anak-anakmu yang manja
dan kemewahan dunia
Saat itu...
rindu padamu tak mungkin terbendung
hati ini pasti kian rentung
menantimu di muka pintu
ingin merasai pula belaian darimu anakku...
Tapi...
biarlah aku pendam lara itu nanti...
cukuplah hanya mendengar suaramu...
mungkin setahun sekali...
atau
cukuplah kiranya kiriman wangmu
sebulan RM100
Anakku sayang
kasih ibu tak perlu kau beli
ibu beri percuma
Cuma...
rindu ibu padamu
kau pandanglah wajah ibu
kau senyumlah pada ibu
Jika berat kau ingin membelaiku
biarlah aku sentuh wajahmu
Jika jijik rumah ibu
biarlah hanya di muka pintu
Tapi...
sering pula aku lupa pada ibuku
jarang juga aku menjenguknya
telefon pun selalu lupa
Kini.. apakah kau sihat ibu?
risaukah aku sebagaimana
risaunya aku kepada anakku?
Jika kini aku membelai anakku
dengan penuh kasih sayang...
bagaimana denganmu ibu...?
siapa pula yang menjagamu....
Bagaimanakah perasaannya
jika hilang anak dari pandangan
wujudnya ada
tapi tak pernah tahu khabar berita...
Ibu...maafkan aku
mari aku belaimu
sebagaimana engkau membelaiku dulu.
FIAZ (FathiahAmar)
10032010
HAKCIPTA TERPELIHARA
SILA KREDITKAN NAMA PENULIS JIKA INGIN MENGAMBIL MANA-MANA KERATAN SAJAK INI.
Apakah Yang Kurasa
infaq
Bila difikir-fikirkan...telah berapa banyak harta dan usiaku yang diinfaqkan ke jalan Allah...?
bila dikenang-kenangkan...berapa banyak pula Allah kurniakan segala-galanya untukku...?
Bila ditimbang-timbangkan banyak mana yang Allah PERINTAHKAN aku lakukan untuk mengabdikan diriku kepada-Nya...yang TELAH aku buat...?
bila diingat-ingat...banyak mana TELAH Allah berikan nikmatnya SEBELUM dan TANPA aku pinta...?
renung-renungkan....
CINTA PERLUKAN BUKTI... PROVE IT!!!
Assalamualaikum.
Alhamdulillah... aku diberi kesempatan berkongsi rasa dalam usahaku berjuang menuju Allah.
Semalam, aku telah diperingatkan tentang cinta...
Lumrahnya, jika kita menyintai seseorang, cinta itu mahu dilahirkan. Seperti anak-anak muda, pelbagai tanda cinta diberi kepada sang kekasih. Cuma bagaimana kita gambarkan ia? Cukupkah cinta hanya di bibir sedangkan perbuatan langsung menyimpang malah curang? Adakah cukup sekadar "I LOVE U"?
Sebagai seorang Islam yang merindui rahmat Allah, apakah cinta yang patut kita utamakan dalam hidup kita?
Jika kita mahu kasih sayang Allah, apakah yang harus kita kejar semasa hayat ini?
Apakah layak kita dikasihi Allah?
Bagaimanakah kita melayakkan diri dipandang oleh Allah SWT?
Marilah kita lihat, bagaimana ciri-ciri seorang kekasih-NYA, iaitu Nabi junjungan Muhammad SAW.
Inilah cinta yang harus kita kejar, kerana cinta inilah cinta yang maha agung. Cinta yang tak akan dikhianati. Cinta yang paling mewah dengan kasih sayang.
Sedarkah kita betapa Nabi mengasihi kita melebihi dirinya sendiri? Tahukah kita betapa penderitaan yang dilalui baginda demi menyelamatkan kita daripada neraka Allah? Baginda sanggup bersusah-payah demi umatnya ini. Apakah balasan kita padanya?
Marilah kita kejar cinta ini. Bagaimana??? Apakah cukup kita menyambut maulidurrasul setahun sekali?
Apa yang lebih penting, kita balas jasanya dengan mengikuti seruannya dan syariatnya, mengamalkan sunnahnya serta menjauhi bida'ah. Marilah kita jejaki kesan-kesan kasih sayang baginda agar kita dapat menghayati bagaimana perit pengalaman baginda berdakwah.
Suburkan hati kita supaya layak hati ini menerima hidayah dari Allah SWT. Janganlah kita hanya berpeluk tubuh dan berkata 'inilah takdirku'. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya.
Hati ini seperti tubuh, ia perlukan 3 perkara untuk menjadi subur.
- Pemeliharaan supaya ia selamat
- Makanan supaya ia hidup
- Ubatan supaya ia sihat
Apakah makanan yang patut diberi kepada hati?
Ubat apakah yang perlu dibekalkan buat sang hati?
Percayalah bahawa hati yang terang adalah hati yang dipenuhi iman. Ia terang bak cahaya yang bahagia lalu menerangi orang di sekelilingnya. Namun, hati yang mati hanyalah hidup di dalam kegelapan yang meresahkan. Kematian ini akan menjadikan ia keras, kasar dan kian jumud. Hati yang umpama mayat ini tidak layak menerima hidayah dari Allah SWT.
Wahai aku...tidak lain tujuan aku diciptakan hanyalah demi menyembah-NYA. Bagaimana jika aku tidak menerima hidayah Allah, apakah boleh aku sendirian menjadi hamba yang patuh? Bagaimana aku bisa lulus sedangkan tiada ilmu yang aku pelajari?
Wahai aku..., bersihkan lah hati ini, kerana ruang untuk kasih sayang sejati adalah di tempat yang suci bercahaya, bukan gelap lagi menderita.
Labels: cinta , Hati , maulidurrasul , Muhammad SAW
BELAJAR - MENGAJAR MENGAJI.....
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Alhamdulillah, masuk minggu ni dah 3 kali aku dan suami belajar mengaji... Hai kalau salah dengar, orang kata "Ai.. dah tua-tua pun belaja mengaji?" Biasanya itulah fenomena masyarakat kita. Bila dah tua, buat ape belajar mengaji lagi...??? Kan dulu masa kanak-kanak dah khatam. Aku terkilan dengan pandangan begini. Malah yang lagi sedih, ramai juga yang kononnya dah khatam Al-Quran terus tutup Al-Quran, tak buka-buka lagi dah untuk bacaan harian di rumah sendiri.... Nak 'mengkaji'nya apatah lagi...huhuhu.
Walau bagaimanapun, pendedahan-pendedahan dan usaha pelbagai golongan yang sedar telah sedikit sebanyak membuka mata banyak masyarakat. InsyaAllah, mudah-mudahan Allah beri kelapangan kepada mereka yang berdakwah ni. Tulisan santai ini pun diharap dapat memberi kesan yang baik kepada sesiapa yang membacanya, insyaAllah.
Asalnya memang aku nak sambung je ke kelas lanjutan, guna buku Qiraati Dewasa 2. Tapi setelah diterangkan, aku dapati isi pengajaran kali ni lain sikit, lebih detail. Ia takde dalam kelas asas yang aku masuk dulu. Jadi aku ambil keputusan masuk balik kelas asas ni. Alhamdulillah, berbaloi rasanya. Ustaz Sali yang mengajar kami tu pun belajar lagi memantapkan ilmunya, apatah lagi aku ni yang banyak tak betul lagi... Janganlah berkira nak belajar ilmu Allah ni. Kalau beli komik Detektif Conan sanggup, pergi mancing 2-3 kali boleh, takkanla g kelas mengaji lokek..ek? Semua harta kita ni pun Allah yang bagi. Kalaula Dia tarik balik sebab kita lokek dgn Allah...ha tak dapat aku bayangkan.
Dalam kelas mengaji bacth yang ni, aku sekelas dgn 3 perempuan lain dan ada 4 atau 5 orang lelaki tak termasuk suamiku. 3 perempuan tu sekeluarga, ibu dan 2 lagi anaknya. Mungkin dalam lingkungan umur 20-an, seorang telah berkahwin, dan seorang masih bujang. Suami perempuan tu pun belajar di situ juga, tapi kelas yang dibuat pada hari Ahad. Yang pelajar lelaki pula aku tak berapa pasti. Pertama sebab aku tak rapat dengan mereka, kedua kerana mereka belum pernah hadir semua sekali serentak. Maksudnya minggu ni A datang, B dan C tak datang. Minggu depan pula C dan A je datang, yang lain tak.
Aku rasa lelaki banyak tugas lain di luar, mungkin outstation, kerja lebih masa, shift, masalah keluarga dsb. Jadi, bagi aku, elok kita didik anak-anak kita terutamanya lelaki sebelum mereka menjadi suami dan ayah. Kerana
- mereka akan sibuk nanti dengan pelbagai tanggungjawab kepada isteri, anak-anak, ibu bapa, keluarga sebelah isteri dan kerja serta lain lain masalah. Pada masa tu, susah dia nak pergi ke kelas-kelas agama jika tidak dengan kesedaran yang mendalam. Lagi liat kalau kelas tu berbayar. Sementara masih remaja / bujang dan berkelapangan, eloklah dihantarkan belajar ilmu-ilmu agama.
- mereka nanti akan menjadi pemimpin sekurang-kurangnya kepada keluarganya. Dia bertanggungjawab memastikan keluarganya sentiasa berada di jalan yang lurus, jalan yang diredhai oleh Allah di mana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jika dia mengabaikannya, maka dia akan ditarik oleh isteri dan anak-anaknya ke neraka Allah, na'uzubillah!
Kelas mengaji yang aku ajar pula alhamdulillah, dah ada sorang. Walaupun sorang, tapi aku puas mengajarnya. Budaknya baik, agak pemalu tapi berterus terang bila ditanya. Anak murid lama pun kemungkinan akan mengaji semula denganku kerana ibunya terpaksa kerja sampai malam. Sekarang mereka mengaji malam berdekatan dengan rumahnya. Memang jauh la dari tempat kerja ibunya. Jiran sebelah pun nak hantar anaknya mengaji katanya, tapi aku tak pasti bila dia nak mula...
Memang jarang kami berbual kerana hari-hari dia kerja dan aku pula jenis yang tak suka buat 'mesyuarat tingkap'.. hehehe. Memang jarang aku keluar rumah tak bersebab. Kalau tak kerana sidai kain, sapu daun-daun kering, jirus pokok, bagi makan kucing atau memang nak keluar ke kelas, balik kampung dsb, duduk dalam je la aku ni. Tapi aku mestila cari peluang juga beramah mesra dgn jiran-jiran. Tak elok pentingkan diri sendiri. Mana tau kot-kot mereka tengah susah..ek?
Jadi, sesiapa nak hantar anak mengaji ke tempat aku ni insyaAllah boleh sesangat le. Janji dia duduk dekat area Taman Daya, Johor Bahru, Malaysia. Sekarang aku dah tak terima kalau yang nak belajar malam. Siang je la yang boleh... Waktu malam untuk keluarga.
Yang penting hari pertama mengaji, aku nak sekurang-kurangnya ibu mesti ikut bersama untuk pendaftaran dan sedikit penerangan. Aku tak mahu ibu bapa pandang ringan ilmu mengaji Al-Quran ni walhal Al-Quran ni adalah perlembagaan hidup kita. Al-Quranlah sumber segala ilmu di dunia ni... Tak patut la kalau terpaksa ponteng ngaji kerana nak tuisyen. Mengaji tak penting ke? No.. no... no..... Mengaji Al-Quran lebih penting daripada lain-lain.
Kalau dah pandai mengaji sendiri takpe la..bagus g tuisyen tu, kuatkan ilmu-ilmu dunia supaya dapat mentadbir dunia mengikut acuan Allah seperti yang diterangkan dalam Al-Quran. Ini sebahagian jihad kita. Jangan biar orang kafir mentadbir dunia ikut kehendak mereka. Kalau tak, berlaku la penganiayaan, bencana alam, penipuan dsb. Sebab mereka tak fikir/ percaya hukuman di akhirat. Setiap perbuatan di dunia akan disoal di akhirat kelak. Mereka fikir nak kaut untung je, bukan sebab nak beribadah kepada Allah.
Bila aku mengajar mengaji ni aku sambil ajar akademik sekali seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan English. Aku kaitkan dengan Allah serta selitkan hafalan dan sirah. Aku banyak guna Majalah Ana Muslim dan Sayang Muslim selain buku-buku rujukan KBSR. Dengan anak murid aku yang dulu, Danial dan Daleya pun aku buat macam tu juga. Aku dapat menguatkan lagi pelajaran yang aku dapat dari kelas Qiraati Dewasa dan Kuliah Tafsir.
Semoga Allah bantu aku mencari lagi ilmu-ilmu-Nya dan memberi peluang aku menyebarkannya pula, insyaAllah. Tak dapat mengajar di sekolah, mengajar di rumah pun banyak baiknya. Alhamdulillah.. semua yang Allah bagi aku ni sumenye baik belaka...!!
Labels: Al-Quran , ayah , Institut Kefahaman Islam Malaysia , Johor Bahru , lelaki , Majalah Ana Muslim , mengaji , Sayang Muslim , suami , Taman Daya
MALAIKAT SUKA MENYERUPAI SAHABAT NABI
Bismillahirrahmanirrahiim
Kuliah Tafsir kali ini disyarahkan oleh Dr Wan Nasyrin bin Wan Abdullah dari UKM. Syarahan ini adalah sambungan dari kuliah beliau pada 29.10.2009. Walaupun beliau adalah pakar dalam ilmu Hadis, namun beliau mampu menyampaikan kuliah mengenai Al-Quran sebagai Kalamullah.
Ia tidak hairan kerana Al-Hadis adalah sangat berkait rapat dengan Al-Quran. Hadis sendiri merupakan penerangan-penerangan kepada isi Al-Quran. Allah menurunkan Al-Quran untuk panduan yang wajib dipegang oleh semua manusia. Ia adalah perlembagaan hidup yang sangat lengkap bagi manusia kerana ia datang daripada Allah yang Maha sempurna.
Nabi Junjungan SAW pula ditugaskan menyampaikan kandungannya kepada kita, bukan sahaja bangsa Arab, malah ke seluruh pelusuk dunia selagi ada manusia dan jin. Segala perbuatan, percakapan dan diamnya Rasulullah itu dinamakan As-Sunnah atau Al-Hadis. Segala yang dilakukan Nabi, tidak lain adalah demi menyeru manusia mengesakan Allah seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.
Dalam satu peristiwa di mana ketika Nabi SAW menerima wahyu, malaikat Jibrail yang menyampaikan wahyu itu telah menyerupai seorang sahabat baginda bernama Dihyah al-Kalbi. Ada ketika yang lain malaikat telah menyerupai sahabat Nabi tersebut. Ini keranaDihyah al-Kalbi adalah sahabat Nabi yang sangat tampan, hidupnya jauh dari orang ramai, percakapannya teratur, langkahnya tersusun, bersih dan kemas serta segak orangnya.
Wahyu yang diterima oleh Nabi pada peristiwa ini adalah wahyu yang paling panjang pernah diterima baginda. Isi kandungan hadis itu menyentuh tentang tanda-tanda akhir zaman. Antaranya ialah
'apabila hamba melahirkan tuan'Ayat ini memberi 2 maksud
- Di mana pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan Islam, seorang raja yang telah dijual oleh seorang ulama' di sebuah pasar kerana baginda adalah anak hamba dan masih belum merdeka / merdaheka. Setelah raja itu dibeli oleh perdana menterinya, baginda telah mengarahkan ulama' tersebut dipenjarakan kerana dikatakan telah menjatuhkan maruah baginda. Walau bagaimanapun, Allah telah menyelamatkan ulama' tersebut dengan mengambil nyawanya sebelum sempat dipenjarakan. Maka, layaklah raja tersebut meneruskan pemerintahannya kerana telah merdeka, bukan lagi hamba.
- Apabila seorang ibu melahirkan anak dan setelah anak itu dewasa, dia memperlakukan ibunya seperti orang gaji. Ini kita dapat lihat di merata-rata tempat di Malaysia sekarang. Ramai ibu disuruh menguruskan cucu. Sehinggakan ibu yang telah tua tidak ada masa untuk diri sendiri kerana 'menolong' anak-anak menjaga cucu, mengemas rumah dan sebagainya.
Aku ingin mengingatkan diriku dan sahabat sekalian, jika kita mempunyai anak, janganlah menyuruh ibu bapa kita menjadi tukang urus anak-anak kita. Sekolahnya, makannya, minumnya, pakaiannya. Cukup sekadar anak-anak kita itu menjadi peneman dan penghibur mereka sahaja, jangan sampai menjadi beban. Jika terpaksa meletakkan anak-anak di bawah jagaan orang tua kita, pastikan segala kelengkapannya cukup, duit belanjanya cukup, makanannya cukup, pakaiannya cukup. Jangan pula ibu kita yang bersusah payah membasuh pakaian anak-anak kita, membayar yuran persekolahannya, membelikan makan pakainya dan keperluan lain. Mungkin boleh kita kirimkan seorang pembantu bagi membantu ibu bapa kita di sana.
Dan jika kita pula seorang ibu atau ayah, ingatkanlah anak-anak kita jangan sampai mereka memperlakukan kita seperti hamba. Ibu bapa adalah tuan kepada anak-anak.
Labels: Dihyah al-Kalbi , Dr Wan Nasyrin bin Wan Abdullah , Hadis , Jibrail
CIKGU PEREMPUAN-CIKGU LELAKI
Bismillahirrahmaanirrahiim.
Mulai minggu depan, aku akan mula mengajar mengaji semula, insyaAllah.
Teringat anak murid lama, Danial dan adiknya Dalia... Terkadang terasa rindu dengan keletah mereka. Danial yang sopan santun, sangat mudah mengajarnya mengaji. Walaupun selalu tak datang, tapi dia ingat apa yang dipelajarinya, alhamdulillah. Dalia pula seorang yang manja, rajin bercerita dan cantik pula. Si abang darjah 2 dan si adik berumur 5 tahun kalau tak silap aku.
Mereka panggil aku cikgu perempuan dan suamiku cikgu lelaki. Tak pastilah kenapa... Memang pada peringkat permulaan mereka tak ingat nama kami. Aku ajar mereka mengaji. Kalau sempat aku ajar juga Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains atau sekadar melukis, main teka-teki dan bercerita. Suamiku pula pernah ajar mereka solat. Alhamdulillah, mereka ni jenis yang pandai.
Sayang betul tak dapat terus ajar mereka. Dulu, aku duduk di Taman Bukit Mutiara, dekat la dengan kilang Southern LION, tempat ibunya bekerja. Suamiku juga bekerja di kilang tu. Di kantin tu la Kak Yana, mak si Danial dan si Dalia (aku selalu panggil dia Ya) ambil tander memasak. Sekarang dah pindah Taman Daya, agak jauh sikit la dari sana. Agaknya susah Kak Yana nak hantar anak-anaknya. Sekarang, mereka belajar mengaji dengan cikgu baru. Aku harap dan berdoa mereka sentiasa berpeluang terus belajar mengaji dan mengamalkan membaca AL-Quran walaupun dah habis belajar mengaji nanti...amiin.
Mulai minggu depan, 8.2.2010, insyaAllah aku dapat anak murid baru... Eee, seronoknye! Rindu nak mengajar. Seronok, seronok jugak...tapi takut jugak kalau yang diajar tu salah. Nanti jadi ajaran sesat pulak, na'uzubillah! Ilmu Al-Quran ni tak sama dengan Bahasa Melayu, Matematik atau sains. Ayat-ayat yang diajar tu nanti nak diguna dalam solat sehari-hari, nak dipraktikkan semasa membaca Al-Quran. Kalau aku ajar yang salah... bahayooo!
Sebab tu la aku tetap terus belajar lagi... Banyak lagi yang aku tak tahu. Terima kasih kepada mak aku yang tak putus-putus menyokong ku. Tak kira saat aku sakit berpanjangan, saat aku susah, saat aku sedih, saat aku keseorangan...alhamdulillah. Bersyukur aku punyai ibu sepertinya. Ya Allah, berkatilah ibuku. Semoga dia tergolong di kalangan insan2 yang Kau kasihi..amiin. Dan kini, suamiku juga memberi keizinan, kemudahan dan galakan dalam usahaku berjuang dalam bidang ini. Ya Allah, berkatilah suamiku...ringankan bebannya, permudahkan urusannya dan tenangkanlah hatinya...amiin.
Akhir kata, aku tidak layak menjadi pengajar jika aku tidak mahu menjadi pelajar...
Labels: Dalia , Danial , Southern LION , Taman Bukit Mutiara
KELAS QIRA'ATI AKAN BERMULA
Bismillahirrahmaanirrahiim.
Sebelum berkahwin dulu, aku dah habis kelas Qiraati dewasa peringkat asas. Kini aku ingin sambung ke peringkat seterusnya. Aku tak tahulah apa nama kelas tu, tapi aku namakan sendiri sebagai 'Kelas Qiraati Dewasa Lanjutan' atau kelas lanjutan je.
Kelas asas dulu guna buku Qira'ati dewasa. Masa tu belajar memang macam kanak-kanak la... bermula dari asas, tapi cara orang dewasa la... Dalam kelas tu baru la aku tau banyak yang salah rupenye dalam bacaan Al-Quran kita sehari-hari ni... huiiii patut la tak lekat, apatah lagi nak jadikan Al-Quran sebagai pakaian kita. Ha... jangan sangka dah khatam Al-Quran zaman kanak-kanak dulu dah terela konon. Jauh panggang dari api rupenye. Dalam kelas aku tu, ada yang memang guru Al-Quran, pun banyak salah jugak. Pendek kata la, kita ni jangan sangka dah pandai. Kene rajin cari ilmu. Dah habis master ke, doktor falsafah ke...ilmu Allah takkan habis.
Kalau sebutan bacaan Al-Quran tu tak betul macam mana la kita nak aja anak kita? Itu baru sebutan, belum lagi isi kandungannye... Hai, terasa jauh lagi nak kejar nih... Orang kafir tu lebih pakar dari aku bab Al-Quran. Aku, baca pun tak betul lagi. Ramai orang barat (non-muslim) mengkaji Al-Quran kerana nak hancurkan Islam. Malah ada di antara mereka menjadi pensyarah dalam bidang Al-Quran mengajar anak-anak orang Islam. Kalau dia nak kelentong, kita ni hidup-hidup kena tipu. Tapi Allah dah jamin, Dia pelihara Al-Quran ni sampai hari Qiamat. Ramai jugak pengkaji barat yang akhirnya masuk Islam kerana menemui kebenaran demi kebenaran.
Yusuf Islam kata, lebih kurang maksudnya; "nasib baik saya jumpa Islam dulu sebelum jumpa muslim. Jika saya jumpa muslim, tak mungkin saya peluk Islam." Ini maknanya walaupun kita dah beragama Islam, tak semestinya kita ni benar-benar sebagaimana Islam itu sendiri.
Seorang lagi pendakwah Kristian dari Australia, namanya aku tak ingat. Ceritanya aku dapat dari Prof Mat Rofa bin Ismail dari UPM dalam kuliah tafsir pada 19.11.2009 Prof Mat Rofa merupakan seorang pakar matematik, fasafah dan sains. Sebenarnya beliau bukanlah seorang ustaz tetapi mendalami ilmu Al-Quran kerana kesedarannya tentang isi Al-Quran yang merupakan sumber utama ilmu-ilmu sains, matematik, falsafah dan sebagainya. Aku sangat mengkagumi beliau kerana ilmunya dan pengalamannya. Itu pun beliau masih mengatakan bahawa beliau masih terlalu ketinggalan berbanding para saintis barat yang juga lebih arif tentang Al-Quran sedangkan mereka kafir. Apatah lagi aku ni...aduhai...
Kisah pendakwah Kristian tadi... Dia mengkaji AL-Quran demi bencinya kepada Islam. Niatnya adalah untuk menjatuhkan Islam yang semakin berkembang terutamanya di barat. Dia akhirnya menjadi sangat pakar dalam bahasa arab dan selok-belok tentang Al-Quran. Kini dia telah menjadi salah seorang pendakwah Islam yang aktif, malah sebahagian kitab tafsir yang kita guna sekarang adalah karangan beliau. Subhanallah! Seperti juga Yusuf Islam, dia mengatakan bahawa dia memeluk Islam kerana keindahan Islam itu sendiri. Dia tidak mungkin memeluk Islam jika dia melihat muslim.
Bagaikan kena tampar rasanya! Maknanya sebahagian umat Islam kini jauh sangat terpesong daripada Al-Quran yang sepatutnya menjadi pegangan kita. Aduh..mudah-mudahan la aku tak tergolong di kalangan yang terpesong tu. Aku berdoa semoga suamiku, ibu bapaku, mertuaku, adik-beradikku, keluargaku, sahabat-sahabatku dan kalian semua bukanlah golongan yang terpesong itu...amiin.
Wahai suamiku, demi cinta kepadamu, aku mohon perhatianmu agar tidak mengabaikan Al-Quran. Aku sangat menyokongmu dalam jalan menuju Allah. Aku akan membantumu berjuang dalam agama Islam dengan kemampuanku. Wahai suamiku, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka. Jika kau sayangi aku, tegurlah andai ada perbuatanku bakal mencampakkan aku ke dalam api neraka Allah. Aku jua akan menasihatimu dalam membina keluarga Islam yang diredhai Allah...
Wahai sahabat, wahai aku... jika kita sayangi seseorang sayangi dia sampai akhirat. Barulah itu namanya cinta sejati.
Labels: Allah , Prof Mat Rofa bin Ismail , Qiraati , Yusuf Islam